Sang Pemilik Hati

بسم الله الرحمن الرحيم

"Berjuta cerita terukir 
menjadi sebuah dilema

mengertikah engkau
perasaanku tak terhapuskan...

malam menangis
membasahi mata hatiku
namun
tetap aku  cuba bertahan dalam buih-buih cinta yang kian rapuh

kerna 
apa yang aku genggam
tak mudah untuk aku lepaskan..."



Radio di sudut bilik tidak henti memainkan lagu cinta. Cinta yang sememangnya perasaan fitrah manusia. Cuti Semester keempat. Wardah berat hati ingin pulang ke kampung halaman. Bukan tidak mahu berjumpa melepas rindu pada mak dan ayah, tetapi sesuatu hal yang sulit berkait hati dan perasaan merantai hati Wardah. Wardah penat. Dia penat disoal mengenai jodohnya yang tidak kunjung tiba.

"Dah tiba masanya Wardah cari calon suami,"luah ayah cuti semester lepas. Muka Wardah merah. Wardah ni pemalu, meskipun bila bercakap dialah yang tampak yakin, meskipun bila ada keperluan untuk berurusan dengan insan yang berlainan jantina dengannya, dia boleh berurusan seperti biasa. Cuma, bila berkait cinta dan perasaan ni, ditambah pula lawan bicaranya kala itu ialah ayah, dia malu.

"Bila jodoh dah sampai, Wardah kahwinlah ayah. Bukan ke jodoh tu rezeki dan ketentuan Allah?" Wardah gigihkan hati menjawab. Dia tahu, ayah bimbang, ramai anak-anak teman ayah yang lebih kurang sebaya dengannya telah menemui cinta hati mereka dan mengakhirinya di jinjang pelamin. Justeru mungkin persoalan yang bermain dalam fikiran ayah sekarang ialah, "Bila Wardah nak kahwin?"

Wardah faham, ayah bukan merasa terbeban dengannya. Ayah bukan ingin mencari jalan pintas menyerahkan dia pada seseorang yang mampu menyara hidup dia. Ayah cuma bimbang akan Wardah. Ayah cuma mahu Wardah bahagia. Wardah tahu itu, dia cukup arif tentang kekhuatiran yang melanda hati dan jiwa ayah sekarang.

Dahulu, dia pernah mendengar senior-seniornya yang lelah menadah telinga bila mereka sibuk dengan pelajaran di universiti, punya cita-cita nan tinggi tetapi dalam perjalanan mengejar cita-cita itu keluarga mereka banyak bertanya mengenai jodoh mereka.

"Ya, betul...tapi kita kena usahakan juga," celah mak perlahan.

Hati Wardah sebak tiba-tiba. Adakah usaha dan doa-doanya belum cukup? Sejauh mana takrifan usaha itu? Adakah dengan merelakan diri dijadikan teman tanpa ikatan itu satu usaha?

Wardah tidak mahu dirinya jadi seperti yang lain. Dia mahu cinta yang dimulakan dengan sesuatu yang suci, biarlah segalanya bermula kerana Allah, bukan kerana nafsu. Namun alangkah beratnya apabila segala yang dipertahankan kini mula dipersoalkan.

"Sesungguhnya perempuan yang baik-baik itu untuk lelaki yang baik-baik...dan begitu juga sebaliknya...kita memang kena usaha untuk apa jua yang kita mahukan dalam hidup. Nak dapat jodoh yang baik? Usahanya kita kena jadikan diri kita ni baik..

Bila doa-doa kita masih belum terjawab, mungkin ada sesuatu yang masih tak kena pada diri kita. Mungkin kita masih belum bersedia untuk dipertemukan dengan jodoh kita. Kita tak tahu bila kita benar-benar bersedia, Wardah...hanya Allah yang tahu." pujuk Asrar, sahabatnya yang satu itu pandai meneka apa yang bermain dalam hatinya.

"Aku reda dengan setiap ketentuan-Nya. Aku masih belajar untuk benar-benar reda. Tapi apa yang pasti, aku tak akan berhenti berusaha,"ucap Wardah.

Hatinya kini beransur tenang, dia melipat helaian terakhir bajunya lantas dimasukkan ke dalam beg bagasinya. Biarlah pertanyaan mengenai sang pemilik hati itu datang bertubi-tubi pun, dia tidak ambil kisah lagi. Segalanya ketentuan Allah.

Buat waktu sekarang, dia hanya mahu mengejar cita-citanya dan memohon dirinya dan kedua ibu bapanya dipanjangkan umur  agar dia dapat berbakti pada mereka.



Comments

Popular posts from this blog

Japanese Script Part II

Secebis Pengalaman :Speaking Test MUET

Secebis Pengalaman: Reading, Writing & Listening MUET July