Jangan Putus Asa...


Malam itu, malam yang sangat sejuk. Hujan turun mencurah-curah dan kakak masih ingat air sungai mula naik dari paras biasa sehingga halaman rumah kita dinaiki air. Melihat wajah abang yang gembira ketika dapat menangkap seekor ikan haruan yang terdampar di atas pasir selepas hanyut dibawa arus air meriuhkan suasana. Kakak dah baca surat itu, surat itu menyatakan agar kakak tidak menyusahkan ibu dan ayah lagi. Kakak rasa sedih, sebab kakak tak mahu jadi beban pada keluarga tetapi dalam masa yang sama kakak cuba melawan sesuatu yang telah Tuhan takdirkan hadir dalam hidup kakak. Maafkan kakak.

Sebenarnya, hari tu kakak dah tahu esok dugaan yang mendatang lebih hebat sebab nasib kakak bukan macam orang lain. Kadang-kadang sedih juga bila terpaksa berhadapan dengan pertanyaan ramai orang. Apa perkembangan terkini diri ini dalam pendidikan.  Jujur sahaja, teman-teman dirasakan mula menjauhkan diri. Jarang ada yang mahu menegur dan berkongsi berita bahagia. Nasib baik, ayah dan ibu banyak memberi galakan.Mereka terima kakak macam dahulu. Mereka sayangi kakak dan berikan apa yang kakak perlu dan apa yang kakak mahu. Benarlah kata orang tua-tua, kasih saudara dan teman ni semasa berada tapi kasih ibu bapa sepanjang masa. Dengan izin-Nya, Allah itu menjadi cinta nombor satu dan kemudian diikuti kasih buat ibu dan ayah. Hanya pada mereka, tempat kakak mengadu dan memohon kasih, minta disayangi.

Adik, jika adik terbaca warkah ini, kakak mahu adik tahu, kakak sayangkan adik. Kakak tidak mahu impian yang kita bina selama beberapa tahun yang lepas musnah begitu sahaja kerana kakak akan berusaha mencapai apa yang telah kita rancangkan bersama. Namun kecintaan kita kepada ilmu seharusnya dilaraskan bersama kecintaan kita kepada hari akhirat. Sesungguhnya apabila kita mengejar akhirat, dunia akan mengejar kita. Bersesuaian dengan pesanan para bijaksana yang sentiasa berpesan agar kita, sentiasa menjaga hubungan baik dengan Allah dan menjaga hubungan baik sesama manusia. Tertanya-tanya bagaimana perasaan kakak setelah menerima warkah yang diletakkan di dalam buku itu? Pada mulanya kakak berasa amat marah dan sedih. Tapi, lama kelamaan kakak tahu bahawa adik tidak benar-benar mengerti apa yang kakak lalui pada waktu itu. Sekarang, kakak lebih tenang kerana kakak tahu setiap teguran itu bermakna masih ada yang sayang dan mengambil berat mengenai diri kakak. Kakak bahagia sekarang, kerana kakak tahu bahawa setiap ujian atau musibah yang diturunkan oleh Allah itu ada hikmah di sebaliknya.

Bagi orang jahat yang melakukan kejahatan dan ditimpa musibah, ujian itu ialah bala buat dirinya. Bagi seorang Muslim yang baik, namun tergoda dalam beberapa hal dan melakukan kejahatan lalu dia mendapat musibah ketika melakukan kejahatan tersebut, bermakna itu kifarah bagi dirinya sebagai penghapus dosa. Manakala bagi seseorang mukminat atau mukmin yang benar-benar baik serta sentiasa melaksanakan amar makruf nahi mungkar tetapi masih diuji, bermakna Allah ingin menambah pahala dan menghapuskan dosanya lalu mengangkat darjat kedudukan hamba itu di sisi-Nya. Justeru, perancangan Allah itu sebenarnya lebih baik daripada perancangan manusia.Kakak tahu ini bukan bermaksud kita sebagai hamba-Nya lepas tangan dalam soal dunia dan hidup, tetapi kita perlu berusaha dan memilih jalan yang terbaik dan mampu kita laksanakan. Akhirnya, Allah akan menolong kita dengan memberikan takdir terindah. Bukankah doa itu senjata paling ampuh seorang mukmin atau mukminat?

Adik, sama-samalah kita meneruskan harapan ayah dan ibu untuk melihat kita berjaya di dunia dan akhirat walaupun saat itu sayap sudah patah...

Kisah dia...
seorang gadis manis bertudung litup berwarna hijau kubaca
Tabah srikandi bonda dan ayahanda diuji hidup
Meski cita dan cintanya terkubur dek musibah yang menimpa
si gadis tahu hidupnya bukan berakhir di situ
Berbekal doa dan semangat daripada kedua orang tua dan keluarga
si gadis kembali meniti titian hidup yang rapuh
Lihatlah
kalian lihatlah
siapa dapat menyangka
apabila kesusahan menimpa tandanya kejayaan itu semakin hampir
Si gadis bertudung litup hijau itu kini berjaya di persada pendidikan
Berkorban menjadi lilin yang membakar diri buat para siswa dan siswi tercinta
Pensyarah muda kebanggaan ayahanda bonda.

"Janganlah kamu berputus asa terhadap rahmat Allah. Sesungguhnya tiadalah golongan yang berputus asa kecuali orang-orang kafir."

Comments

Popular posts from this blog

Japanese Script Part II

Secebis Pengalaman :Speaking Test MUET

Secebis Pengalaman: Reading, Writing & Listening MUET July