Ada Ketika

بسم الله الرحمن الرحيم

Ada ketika, aku merasakan hidup di rumah di samping keluarga tersayang lebih membahagiakan dan menenangkan. Mereka orang-orang yang telah bersama aku selama banyak tahun dan mereka juga yang aku impikan untuk bahagia bersamaku di Hari Akhirat kelak, Insya Allah. Adakah engkau, seperti aku…ingin merasakan sinar mentari dalam awan yang mendung bersama pohon-pohon hijau dan padang rumput luas. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa serta tidak membuatkan kita sejuk.

Alangkah indahnya hidup ini.
Benarlah, zikir tanda ingatan pada CINTA yang terbesar iaitu Allah adalah ibu segala kebahagiaan. Adakalanya fikiran aku bercelaru…memikirkan hal-hal aku yang sekali dipandang agak remeh bagi seorang yang telah bekerja. Aku hanya seorang pelajar, mungkin lebih enak bunyinya andai aku bahasakan diri ini sebagai mahasiswa. Banyak peperiksaan dan dugaan yang menghujani. Sahabat yang dekat di hatiku turut mengalami musibah, kakaknya meninggal kerana Leukimia dan beberapa hal peribadi lain berkaitan keluarga yang sulit dicoretkan di sini. Aku doakan kamu semoga tetap kuat, tenang dan sabar menghadapinya. Sungguh, kamu seorang wanita yang berkat dan disayangi Allah. Maka, kamu diuji. Ingatlah, orang yang terus mengeluh setiap kali ditimpa musibah merupakan orang yang berprasangka buruk pada Tuhannya. Pintalah apa sahaja kepada-Nya, pertolongan…sembuhkan hati…kejayaan kebajikan….kebahagiaan….kerana semua di dunia ini adalah milik-Nya.

 Indahnya pemandangan yang diciptakan Allah. Semoga pemandangan dan rasa tenang yang menemani hati ini bakal menjadi temanku seumur hidup. Aku sering tertanya-tanya, bila aku akan pergi berjumpa dengan-Nya, lantaran kepenatan menangani isu dunia. Duniaku yang masih kecil. Namun, persoalan itu tidak wajar terlintas di fikiran aku. Aku sepatutnya bertanyakan diriku sendiri, “Adakah bekal akhirat aku sudah mencukupi” dan bukannya “Bila aku akan mati.” Gundah memikirkannya, aku masih belum bersedia sepenuhnya…dan aku mengharapkan doa kalian agar hidayah sentiasa menjadi milik aku. Petunjuk dan kasih sayang Allah.

Sewaktu menjalani hidupku di sebuah tempat yang penuh ilmu dan berbukit-bukau, aku melewati pelbagai jenis manusia. Dan mereka tidak sempurna. Mereka seperti aku. Hanya kisah mereka berbeza dan sebenarnya…setiap orang hanya betul-betul  peduli akan kisah mereka sendiri…bukan kisah orang lain. Betapa bahgianya bila begini-begini…betapa sedihnya bila begini…begini…Aku mengambil pengajaran dari situ untuk melipat kisahku kemas-kemas, membalutnya dengan kain imaginasi warna merah jambu pastel lalu simpan dalam satu kotak bernama memori. Manusia tanpa sedar ada yang terlalu cepat menghukum. Tanpa tahu bahwa apa yang dinilai Allah adalah pengakhiran, bukan permulaan atau pertengahan. Kubicarakan hal ini untuk peringatan aku juga. Pandanglah mereka yang punya titik hitam dalam kisah mereka dengan pandangan kasih- umpama gambaran sifat Khalik yang ar-Rahim…Maha Penyayang dan mengampuni setiap dosa bila mereka kembali kepadanya.

Aku merasakan doa adik untuk aku bahagia itu termakbul. Terima kasih, penyembuh…saat ini aku bahgia. Maka doakanlah aku…serta orang-orang yang pernah menderita (semua orang pernah menderita, kukira)…untuk bahagia di sisi ALLAH suatu hari nanti. Tiba saat doamu termakbul, kamu juga bakal bahgia



Comments

Popular posts from this blog

Japanese Script Part II

Secebis Pengalaman :Speaking Test MUET

Secebis Pengalaman: Reading, Writing & Listening MUET July